5 Manfaat Yang Aku Dapat Daripada Travelling

Kembara ku tidak jauh..
Hanya disini masih rapuh;
Masih mencari akar agar ampuh;
Sedang melakar tapak biar kukuh;
Disinilah petak mula aku berkayuh..

Jalan ini ku pilih pasti..
Kala hidup disini juga mati;
Haluan yang ku kira dirahmati;
Tujuan perjalanan sarat penuh erti;
Disini ku bermula mencari yang hakiki..

Kembara ku tidak jauh..
Dimedan fana ini aku bersimpuh;
Melamar damai kental tak luruh;
Perjalanan hemah elak bermusuh;
Semampu setia rendah tidak angkuh..

Saat suasana sekitar ku aman..
Ada antara saudaraku ditimpa ujian;
Dibedil penginapan dibunuh tanpa kasihan;
Namun jiwa masih kental dengan IMAN;
Percaya Allah pasti hulur pertolongan;
Andai aku disana apa mampu aku bertahan..?

Kembara ku tidak jauh..
Langkah bertapak ku cuba asuh;
Bertatih lemah kadang terjatuh;
Matlamat disemat tidak sebagai jaguh;
Anganku hanya untuk sebenar ‘Abduh..

Aku disini tidak kekal..
Hanya persinggahan sementara menunggu ajal;
Sisa hidup berbaki ku isi penuh amal;
Berharap tsabat berjuang tak leka berkhayal;
Menjadi yang benar bersyukur kerna berakal..

Kembara ku tidak jauh..
Masih berlegar menanti disuruh;
Tidak selincah helang megah berparuh;
Tidak selantang bak sabungan guruh;
Namun masih rela tetap bersungguh;
Istiqamah beramal agar IMAN tak lusuh..

Kembara ini ku kutip damai..
Ku tanggal dunia yang sedia ku pakai;
Akhirat ku semat utuh agar tak lalai;
Di dunia benih-benih taqwa ku semai;
Kelak bangkit disana hasil ku tuai;
Seandainya benih ini benar bernilai..

Akhirnya lapangan ini bakal ku tinggal..
Setelah segalanya usai tugasku selesai.

-hassan-

Dah lama tak menulis… Terbaca satu sajak yang penuh makna membuatkan aku terfikir mencoret sepatah dua. Untaian kata-kata kembara yang ku kira bukan hanya kembara mengelilingi dunia.  Tetapi lebih mendalam katanya..  kembara dalam erti kata perjalanan kehidupan yang fana. Psst…  Aku tak nak ulas lebih lanjut pasal sajak di atas.  Tetapi faedah yang aku dapat daripada travel,  aku cuba selitkan kesamaan dalam sajak tersebut. Inilah yang aku dapat daripada kembara walaupun baru menjejak hanya beberapa buah negara sahaja.

1.  Tambah kawan
Tak ku nafi dengan travelling aku mampu mengenal dan menambah teman-teman baru. Walaupun baru kenal ‘teman’ yang tidak sebetahnya disebut teman… Tetapi at least aku ada kawan-kawan baru yang punya matlamat yang sama,  satu tujuan dan adakalanya satu destinasi. Namun dalam rancak menambah teman aku lihat ada di antara kita yang acapkali memutuskan silaturahim bila sesuatu yang dirancang semasa trip tidak menjadi sama sekali atau berbalah pendapat dalam sesuatu tentang perjalanan terdahulu. Dari i kawan you.. Akhirnya sesi UNFRIEND you. Harap sifat ini dijauhkan dari aku.

2.  Sentiasa Peka
Menjelajah ke tempat yang diluar lingkungan biasa membuatkan aku sentiasa lebih peka pada sekeliling. Acapkali ketika mengajar subjek Geografi mahupun Sejarah malah Sivik aku cuba membuka mata anak didik supaya membanding beza dan melihat persamaan berdasarkan perjalanan yang telah aku laksanakan.  Melihat kekurangan dan kelebihan atau perbezaan yang terdapat pada sesebuah negara secara tak langsung membuatkan aku peka apa yang berlaku dalam negara. Syukur.. Kita masih anak Malaysia!

3. Menyemai Rasa Syukur Pada Tuhan
Travel bukan sahaja sekadar hobi atau suka-suka.Tapi memberi satu impak yang besar pada rohani kita.  Melihat keindahan alam ciptaan Tuhan janganlah sekadar mengkagumi sahaja. Sekurang-kurangnya ucaplah rasa syukur pada Tuhan atas nikmat perasaan tenang, nikmat pandangan atas segala kekuasaa-Nya di atas muka bumi ini. Lihatlah suara-suara alam yang sentiasa berzikir pada pencipta-Nya. Nilailah apa yang telah kita lakukan dalam dunia ini. Tak terungkap rasa saat menyepikan diri aku dengan alam.

4.  Cepat Menyesuaikan Diri
Perbezaan bahasa dan budaya sesebuah negara membuatkan aku seringkali cepat mengadaptasikan diri dengan sesuatu budaya. Walaupun begitu, terkejut juga sebenarnya bila buat pertama kalinya aku melihat open toilet, dengan manusia berteleku membuang hajat betul betul depan mata di negara China. Nasib aku tidak melatah. Dah itu budaya mereka.  Belajarlah menerima budaya yang berbeza. Yang baik kita ambil yang buruk tolak ke sisi.

5. Dapat Pengalaman Yang Berharga Untuk Dikongsi.

“Matlamat disemat tidak sebagai jaguh”

Aku suka bait-bait ini. Travel bukan satu pertandingan siapa hebat siapa cepat dan siapa yang paling banyak mengembara. Aku suka membaca coretan pengalaman setiap traveller baik dalam negara mahupun luar negara.  Pengalaman yang diceritakan tidak sama dengan pengalaman kita dapati walaupun tempat yang dituju sama. Pengalaman itulah yang paling berharga dikongsi dan sekurang-kurangnya itu satu panduan atau ilmu yang ditimba oleh orang-orang seterusnya.

Last but not least aku sisipkan sekali apa yang Imam Shafie Rahimahullah katakan…..

“setiap orang bermusafir itu akan mendapat lima kebaikan iaitu:

1. Jika dia memerhatikan ciptaan Allah di tempat itu dengan iman, dia akan memperoleh iman.

2. Jika dia berhajat untuk mencari ilmu, dia akan mendapat ilmu.

3. Jika dia berjalan untuk menimba pengalaman, dia akan mendapat pengalaman. Melalui pengalaman, dia mendapat asas hikmah.

4. Jika dia bermusafir untuk mencari kenalan, dia akan mendapat kawan.

5. Jika dia mencari peluang untuk berniaga, dia akan mendapat rezeki.”

💌 KCF

psx_20170820_0750211963952267.jpg

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s