​Wilayah Autonomi Di China

 

China_provinces

Saban kali membelek peta Negara China, pandangan mata aku seringkali tertancap ke pada beberapa wilayah. Wilayah-wilayah ini memainkan peranan penting dalam budaya China yang pelbagai. Acapkali penduduk setiap wilayah mudah dikenali kerana mereka mempunyai identiti tersendiri. Dalam banyak-banyak wilayah, aku sebenarnya lebih tertarik dengan 5 Wilayah Autonomi yang terdapat di China iaitu, Guangxi, Tibet, Xinjiang, Inner Mongolia (Nei Mongol) dan Ningxia. Kawasan-kawasan di sini kebanyakkan penduduknya adalah kelompok kaum minoriti tertentu, contohnya seperti di Xinjiang yang pernah aku lewati tahun lepas, penduduknya terdiri daripada kaum minoriti yang pelbagai. Antaranya ialah Uygur, Han, Kazakh, Hui, Kyrgyz, Mongol, Tajik, Dongxiang dan Xibe. Kepelbagaian kaum di sini sebenarnya memberikan keistimewaan kepada sesebuah negara kerana mempunyai kepelbagaian budaya yang menarik minat pengunjung ke negera tersebut.

Jom kita kenali wilayah ini satu persatu-satu.

🌀Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang
Aku pernah menjejakkan kaki ke wilayah Guangxi ini. Kedudukannya yang bersempadan dengan Vietnam secara tidak langsung wujudnya kesamaan dari aspek gaya hidup, tarian dan kesenian serta bahasa dan pemakanan. Teringat keindahan bentuk muka buminya yang bergunung-ganang (gunung karst) dan dialiri sungai yang panjang serta disulami hawa yang sejuk membuatkan aku benar-benar merasai ketenangan bila berada di sini. Jangan tak tahu keindahan Guilin yang sangat mempesona ini membuatkan keindahannya diabadikan di atas mata wang China. Etnik Zhuang merupakan etnik yang  mendiami di Wilayah Autonomi Guangxi. Mereka merupakan antara 56 etnik yang diiktiraf di China dan sebahagian besar mereka hidup sebagai petani. Jika berpeluang ke Guangxi jangan lupa saksikan Liu San Jie Performance yang mementaskan kehidupan dan lagenda masyarakat Zhuang di atas pentas air. Sangat menakjubkan!

Terdapat beberapa tempat menarik sekitar Guangxi yang sangat menarik untuk di jengah:

1. The Reed Flute Cave
2. Longji Terraces
3. Li River & Yulong River
4. Big Banyan Tree
5. Moon Hill dan banyak lagi

🌀Wilayah Autonomi Xinjiang Uyghur
Walaupun berkesempatan meneroka hanya Bandar Urumqi dan Turpan di Wilayah Autonomi Xinjiang, aku merasakan sesuatu yang cukup istimewa di sini. Wilayah Autonomi Xinjiang yang terletak di sebelah barat China ini majoriti penduduknya ialah beragama Islam. Seperti yang diketahui mereka menggunakan bahasa dari Etnik Uyghur yang merupakan etnik paling besar di Xinjiang (45%). Aku suka melihat wajah-wajah masyarakat di sini. Wajah mereka kelihatan lebih kepada raut wajah masyarakat Asia Tengah. Tambahan pula makanan mereka yang sedap; satey kambing yang mampu membuatkan aku terliur serta teringatkan keenakannya. Pergh! Hingga menjilat jari. Terkenang-kenang.

Cuma untuk menjengah ke wilayah ini, persediaan yang rapi perlu bagi mengelakkan sebarang  kejadian tidak diingini berlaku. Pastikan sentiasa mempunyai perancangan yang lengkap dan persediaan mental yang cukup apatah lagi wilayah yang sering bergolak ini seperti dianaktirikan tidak seperti wilayah autonomi lain di China membuatkan kita sebagai orang luar juga kadangkala merasakan kedatangan kita seperti tidak dialu-alukan.

Masjid-masjid di sana seperti yang dijengah di Turpan hanya akan berkumandang azan dan diimarahkan pada hari Jumaat. Oleh kerana pemeriksaan yang ketat pernah dilaporkan dikenakan kepada wanita bertudung terutama di airport, sekunjungan aku dan rakan-rakan tahun lepas, aku dan rakan elakkan masuk dan keluar dari sana menggunakan airport sebaliknya menggunakan kereta api sebagai pengangkutan utama.

Banyak tempat menarik di Xinjiang yang boleh dilawati.  Ringan-ringankanlah tangan search ‘things to do’ di Xinjiang ini.

🌀Wilayah Autonomi Nei Mongol (Mongolia Dalam)
Jangan terkeliru antara Mongolia dan Inner Mongolia (yang terletak di bahagian utara China.  Pusat pentadbiran bagi Mongolia Dalam ini terletak di Hothot. Majoriti penduduk di sini pula adalah Cina Han diikuti oleh kaum minoriti lain seperti Mongol, Manchu, dan Hui. Belum pernah aku menjejakkan kaki ke sini teringin juga untuk menjengah.  Aku lebih tertarik pada perkataan ‘mongolia dalam’ yang terletak di China.  Kenapa tidak keberadaannya di Mongolia? Ada sejarah yang perlu diungkap rasanya.

Penduduk di sini berbeza dengan penduduk Mongolia hanya dari segi tulisan. Bahasa pertuturan, cara hidup, malah rupa mereka seperti orang Mongolia di sebalik sana. Masyarakat di sini juga kaya dengan tradisi terutama bagi suku Mongolia Ordos.  Tarian,  adat istiadat seperti perkahwinan dapat disaksikan di Subihon Praire, Ordos City.

Teringat aku pada satu catatan kembara milik Naramas Aman yang mana beliau terpaut pada remaja tahfiz di sana.  Oh! Ada pusat tahfiz di sini rupanya. Ternyata di sini mengamalkan kebebasan beragama dan praktik amalan keagamaan tidak dihalang seperti di wilayah autonomi Xinjiang.

Sesiapa yang ingin ke sini,  boleh menjengah beberapa tempat menarik terutama padang rumput Xilamuren (Xilamuren Grassland). Banyak pengalaman menarik yang boleh ditimba dan dirasai di sini.

🌀 Wilayah Autonomi Ningxia Hui
Aku pernah berura-ura untuk berpuasa di sini tahun lepas kerana tertarik dengan keramaian dan keunikan kaum Hui (Cina Muslim) di sini. Dek kerana asimilasi yang berlaku suatu ketika dahulu,  etnik Hui yang berada di Ningxia ini sebenarnya terbentuk hasil daripada penyatuan pedagang muslim berketurunan Parsi dan Arab dengan suku Han tempatan. Untuk membezakan masyarakat Hui dengan masyarakat Han sangatlah mudah terutama dari segi pemakaian mereka. Ada identiti tersendiri. Bagi lelaki biasanya berjubah dan berkopiah manakala wanita pula bertudung.

People of Ningxia ~ by muslimvillage.

Yang menarik minat aku tentang etnik Hui ini tentulah kuliner mereka.  Terbayang aku keenakan lamian. Dan aku pernah mencicip Suan cai (seperti jeruk sayur atau kimchi) dimakan bersama beef noodles soup atau fried rice dan dihidang pula minuman teh yang dibancuh bersama gula batu dan buah-buah kering. Aduh! Sedapnya.. Terliur? Jangan risau etnik Hui banyak terdapat di serata wilayah lain di negara China.

Dari segi kesenian pula, tak silap aku ada satu seni taridra yang dipanggil Hua’er yang mana banyak unsur etnik Hui dimasukkan seperti tarian kendi dan sebagainya. Muziknya seakan-akan muzik padang pasir pun ada. Boleh lihat vclip di bawah ini.

 

🌀 Wilayah Autonomi Tibet
Wilayah Autonomi Tibet juga dikenali sebagai Xizang. Wilayah ini merupakan wilayah yang terbesar selepas Xinjiang. Etnik Tibet terdiri daripada 90% beragama Buddha Tibet dan Bon. Sungguhpun begitu ada sebilangan kecil yang beragama Islam (Hui dan Salar). Terdapat beberapa etnik di sini seperti Bai, Lhoba, Mongols, Qiang, Menba, Naxi, Han, Hui, Salar dan banyak lagi.

Untuk mengunjungi wilayah ini pengunjung perlu mendapatkan permit masuk terlebih dahulu. Terdapat beberapa destinasi yang menjadi tumpuan pengunjung jika ke sini antaranya Potala Palace yang merupakan ikon Tibet, dan Tasik Namtso, tasik air masin yang terletak paling tinggi dari aras laut dunia serta Gunung Kailash yang mempunyai ketinggian 6638 meter merupakan gunung yang tertinggi di dunia yang tidak pernah di daki. Really?

Tasik Namtso ketika musim sejuk ~ by mafengwo raiders

Masyarakat Tibet terkenal dengan keunikannya yang tersendiri. Teringat aku upacara sky burial yang penah aku saksikan di dalam satu dokumentari. Masyarakat di sini tidak menguburkan mayat tetapi meninggalkan mayat begitu sahaja sehingga burung bangkai memakannya. Sesuatu yang menarik  tetapi menggerunkan hati untuk melihat! Yang inilah aku ingin saksikan di Litang,  salah satu daripada 3 Tibet Autonomous Perfecture yang terdapat di Sichuan  jika perancangan aku diizinkan Tuhan. Erk! Berani ker?

Sky Burial ~by Ancient Origin

Itulah 5 wilayah Autonomi yang terdapat di China. Rasa-rasa yang mana menarik minat anda untuk menjelajahinya?

💌 KCF

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s