Kembara Musim Sejuk Mongolia Part (7) : Jejak Indiana Jones, Menjejak Fosil Di Bayanzag Valley

 

Dua malam di Khongor, hari kelima seawal jam 9.00 pagi kami bertolak keluar meninggalkan host di sini. Terasa sayu meninggalkan mereka walaupun baru dua hari kami bertamu. Sungguh… ku lihat lambaian mereka sayu. Agaknya apalah warga emas itu buat berdua ya? Anak-anak di perantauan semua.

Mengikut perancangan, hari ini kami bergerak menuju ke selatan Dalanzagdad pula yang merupakan syurga bagi ahli paleontologi. Perjalanan ke Flaming Cliff (Bayanzag) ini merentasi sepenuhnya unpaved road. Umpama hilang di bumi kami seperti sedang meredahi berlainan galaksi. Bumpy sana sini. Sesekali dalam perjalanan walaupun bumpy terlelap juga aku dan rakan sekembara dek kepenatan.

Grand canyon of Mongolia….. ‘Bayanzag or Flaming Cliffs’

Bayanzag atau disebut Bain-dzak merupakan tempat di mana fosil dinosour ditemui. Di sinilah penemuan pertama ditemui iaitu telur dinosour termasuklah specimen Velociraptor dan mamalia eutherian. Semua fosil ini ditemui oleh ahli paleontologi Amerika, Roy Chapman Andrews dan pasukannya pada tahun 1923. Pada pandangan aku memang sesuai Bayanzag ini digelar kubur terbesar bagi fosil dinosaur. Sementelah hampir 100 fosil dikatakan ditemui di sini. Namun kebanyakkan fosil yang ditemui itu telah diabadikan dan disimpan di Central Museum of Mongolian Dinosaur, Ulaanbaatar.

Sebaik sahaja tiba ke destinasi kelihatan di setiap sudut bukit pasir raksasa di sini dibatasi oleh lembah yang terbakar dek matahari. Menurut Bymba di sini juga masih terdapat sisa fosil purba tersembunyi di dalam tebing yang kelihatan menyala merah bila di tujah cahaya matahari.

The plains where the dinosaur once lived
Sayup sayup kelihatan our transporter dari tebing tinggi

Rakan sekembara lain aku lihat teruja meniti tebing-tebing di sini. Manakala aku pula lebih suka menyendiri meneliti alam Ilahi dari atas tebing tinggi. Lantas imaginasi aku mula bermain di fikiran. Terasa seolah terhumban dalam zaman prasejarah. Berlari-lari aku mencari perlindungan bila dikejar sang velociraptor yang sangat rakus mencari mangsanya. Terbayang di mata aku dirobek-robek dengan kukunya yang tajam melengkung. Sakit! Lebih sakit dari mata dan hati jika disakiti..

“Feesya….Came here, laung Bymba” lantas terputus lamunan.

Aku perhatikan setiap inci tebing tinggi tanah merah itu. Lagak aku seperti ahli professor arkeologi dalam filem Indiana Jones, Dr. Henry Indiana Jones. Dari tebing itu aku perhatikan terdapat lebih dari 3 ger yang terdapat di sekitar lembah ini. Pada firasat aku mungkin ada punca air di sini yang menjadi pilihan nomad di sini untuk menginap buat sementara. Asyik sekali. Dalam tak sedar… Ketika inilah gelagat aku dirakam rakan sekembara.

Waktu ini sedang kusyuk mengambil gambar. 📷 credit to Long Ranger
Bila berangan bak model.. Macam ni lah 😝

Memang kusyuk benar aku di sini dan sesekali aku melayan permintaan rakan sekembara berfoto bersama. Dalam asyik ketip mengetip bateri camera mula memberi tanda bahawa aku perlu menukarkannya. Aku cuba menyeluk poket. Aduh! Handset pula aku terlupa untuk bawa bersama. Macam serabut pun ada. Haiii…selalu terlupa!

“Haish! Kenapa waktu ini juga kamera nak buat hal,” aku mengeluh sendirian.

Nampaknya aku hanya dapat bersaksikan mata melihat pemandangan yang indah tanpa dapat mengabadikan foto kenangan. Kecewa dan gundah mula bertamu di hati. Aku kembali melayan pemandangan. Tidak rancak lagi jari aku mengetip kamera. Dari hujung ke hujung aku perhatikan lembah di sini.

Breathtaking views. Lembah yang kemerahan dan luas saujana mata memandang.
The orange color of the sourrounding….
My companions in this journey
Saksaul tree ~ the plant of Gobi Desert. Kulit pokok ini sebenarnya boleh serap dan menyimpan air.

“Oh… Ada tiga ger di sini”, terluah dibibir keseorangan tanpa aku sedar.

Di mata aku kelihatan dua ger betul betul dari tebing tinggi sebalik sana. Manakala satu lagi terletak betul-betul di tengah lembah.

“There is your host ger”, ujar Bymba.

Dari jauh kelihatan seperti dekat sahaja. Namun bila di atas jalan yang berliku tiada berturap itu boleh dikatakan jauh juga melebihi 10batu. Petang itu kami menginap di ger yang lokasinya betul-betul di tengah lembah.

Aku sebenarnya lebih tertarik dengan lembah di sini. Duduk di tengah lembah ini cuacanya tidak seperti di ger lain yang kami menginap sebelum ini. Terlalu sejuk kerana angin yang bertiup di sini umpama senjata tajam menyakiti kulit. Beku terasa di jari jemari. Menginap di ger yang sentiasa ditiup angin membuatkan aku terfikir bagaimana agaknya jika ribut pasir melanda? Mahu runtuh ger dibuatnya.

View in the morning in host ger in Bayanzag valley


Bermalam di Bayanzaq valley membuatkan aktiviti kami terbatas dek kerana kesejukan dan angin kuat. Tidak seperti beberapa hari lepas, aku biasanya akan menyertai rakan lain bergelak ketawa bagi menghilangkan bosan. Tetapi di sini aku lebih banyak menyendiri melayan buku log aku lagi. Mencoret tanpa henti. Idea pula mencurah-curah. Lebih kurang jam 9.00malam aku mulai terlelap dan hanyut dibuai mimpi sehingga kembali terjaga pada tengah malamnya kerana rakan sekembara aku hampir kesemuanya mengingau. Entah apa yang diigaukan kurang jelas dipendengaran kerana butir butir yang dituturkan tidak tersusun pula. Kedengaran macam orang ‘menurun’ pun ya! Meriding aku dalam kegelapan. Takut bila difikirkan tetapi aku gagahkan jua untuk bangun. Lalu kucuba hidupkan api dari pemanas yang kian malap dan kembali lena semula. Nyenyak jua akhirnya….

💌 KCF

Kembara Musim Sejuk Mongolia Part (6) : Menyelusuri Kehidupan Nomad di Mongolia

Mendengar perkataan nomad aku sering terbayangkan kehidupan yang sering berpindah randah. Dan kaum yang terkenal dengan nomad tentulah kaum MONGOL. Sabankali aku sering menceritakan kehidupan kaum yang satu ini dari segi cara hidup dan aktiviti yang mereka usahakan untuk kelangsungan hidup di dalam kelas Geografi aku tanpa aku merasai sekelumitpun cara hidup sebenar nomad yang sebenarnya di bumi Mongolia. Tampaknya hari keempat dan kelima di sini, aku benar – benar merasainya.

Seawal jam 8.00 pagi sebelum bertamu dan bermalam di rumah keluarga yang menjadi host kami… Terlebih dahulu kami menjengah Mukhar Shiveert the second ice valley selepas Yolyn Am. Di sini terdapat beberapa spot air terjun yang telah membeku. Sebelum ini kami tidak disertai si kecil cilik Nadine, hari ke-empat ini kami membawa Nadine bersama. Risau juga sebenarnya jika ingin membawa anak kecil menjengah tempat yang terlalu rendah suhunya~ terlalu sejuk! Hinggakan wap pernafasan yang dihembus singgah di bulu mata bisa menjadi ais yang nipis. Aku lihat si anak kecil itu kuat hatinya. Kagum dengan tekad sepertinya ibunya yang digelar ‘nomad’ di alam maya.

Berjalan kaki sejauh 2 kilometer menuju ke Mukhar Shiveert. Formasi batuan dapat dilihat di kiri kanan sepanjang perjalanan

Berjalan ke Mukhar Shiveert sepanjang 2 kilometer tidak membuatkan kami terasa terlalu sejuk dan penat. Sementelahan di kiri kanan kami terdapat gunung yang batunya membentuk pelbagai rupa. Hanya memerlukan sedikit imaginasi, kami dapat lihat formasi batuan yang terhakis oleh agen semulajadi. Semakin dalam kami menjengah semakin kami menghampiri waterfall yang membeku. Susah juga sebenarnya berjalan di atas air terjun yang membeku. Silap langkah padah menanti!

“Be careful with rocks”, sesekali Byamba dan Narantuya memberikan peringatan kepada kami.

Ya…. Dalam beringat itu jugalah aku hampir tersembam muka ke atas batu dan sepantas kilat dalam kekalutan mengimbangi diri cepat-cepat aku alihkan muka lalu ‘kelepuk’…. Bunyi aku tersungkur di atas ais yang membeku. Sakit. Ketawa terburai menyembunyikan rasa.

Perjalanan meniti ke Mukhar Shiveert Waterfall
Glacier waterfall
Cukup sembilan ahli trip kesemuanya. Mukhar Shiveert BERJAYA diteroka walaupun suhu terlalu rendah
Sliding ke tempat permulaan. Slide-slide-slide! Yang berbaju oren bukan main lagi yer?

Allah! Nasiblah aku dapat elak. Kalau tidak memang habis lah muka aku ranap dibuatnya. Perlahan-lahan aku bangun dan bergantung pada tepian batu. Kali ini aku lebih berhati-hati. Sampai di satu sudut, Subhanallah… Cantiknya air terjun yang membeku. Tak terucap dengan kata-kata. Sejuk, tenang dan mendamaikan. Hampir setengah jam melayan view di sini kami kembali semula ke tempat permulaan dengan sliding secara duduk atas ais yang membeku. Sebenarnya boleh saja slide dan berjalan jika mampu berjalan dengan berhati-hati. Tetapi dikhuatiri  jatuh terlentang sahaja. Licin. Basah seluar yang aku sarung walaupun waterproof. Sejuk! Glove yang aku pakai (semi waterproof) itu menjadi basah dan mula keras dek angin sejuk. Terasa kebas jari jemari. Panik! Risau frostbite cepat-cepat aku keluarkan snow cap di dalam kocek dan mula membalut tangan sendiri. Kelihatan pada belakang tapak tangan aku mula kemerahan. Sudah! Cepat-cepat aku gerakkan langkah ke minivan yang sedia menunggu.  Lega bila sudah duduk di dalam.

 

Russian minivan our transporter

Sesekali aku menaham perit dan sakit sehinggalah perjalanan kami diteruskan menuju ke pekan Dalay untuk lunch. Nyata sekali pekan ini seperti sebuah pekan koboi~lengang dan sunyi. Sungguhpun begitu, sempat lagi rakan sekembara aku beramai-ramai shopping di ‘kedai acheh’ gelaran yang diberikan rakan kembara buat kedai runcit di bumi Chinggis Khan ini. Tak sudah-sudah mereka dengan kedai runcit sepanjang beberapa hari kembara. Ketawa memikirkan. Mahu taknya gian bershopping lah tu! Dari Dalay kami bergerak menuju ke tengah gurun Gobi~ Khongoryn Els. Dalam perjalanan panjang, kami sempat berhenti di dua pitstop untuk bergambar. Saat mata memandang lalu lidah pun kelu.. Kelu untuk berkata. Tiada seindah alam melainkan ciptaanNya.

Dari jauh ku lihat Kongoryn Els.
Antara spot menarik. Keluk-keluk padang pasir yang indah.

Kami tiba di rumah host (keluarga angkat) pada jam 5.30petang. Dalam serba kekurangan di tengah gurun itu kami disambut dengan tangan terbuka. Ramah host menerima kami sebagai tamu mereka.

Di dalam ger milik host di Khongor aku kelihatan terlalu serius dan khusyuk melihat rakan cuba mencalitkan satu wangian tanda kaum nomad meraikan tetamu mereka.

Malam terasa begitu lambat berlalu di Khongoryn Els. Bagi mengisi kekosongan malam, kami berbual sesama sendiri dari satu topik ke satu topik. Semestinya topik travel menjadi bualan. Bila malam makin larut Kak Yus, Nadine dan Zaid serta yang lain meminta diri.. Aku beserta 3 lagi si dara sunti mula melangsaikan apa yang perlu sebelum melelapkan diri.

“Wei.. Teman aku sat. Ish takut pulak nak ke sana sorang diri”, kata aku pada yang lain mengajak mereka bersama menemani aku ke tandas. Sememangnya aku memang penakut pada kegelapan malam. Ya aku sedikit nyctophobia (takut kepada kegelapan). Maka berempat kami berjemaah.

“Feesya dulu tak tahan ni”, ujar aku.

Dalam asyik tiba-tiba terjengul guard betul-betul depan aku memerhatikan tingkah laku aku pada waktu itu.

“Heii! Apa kau tengok ni. Shuh.. Shuhh. Eh! Depan-depan plak tu”, halau aku.

Ayu, Kak Shims dan Nadz mula ketawa mendengar aku mengomel. Sesi melangsaikan hajat kami malam itu bukan sahaja ditemani bintang-bintang di angkasa tetapi juga ditemani seekor binatang iaitu anjing host yang sangat jinak. Aduhai… sakit perut aku yang memulas tadi terus hilang. Terbantut segalanya. Aduh! Bisa buat aku sembelit nanti nih, getus aku.  Malam itu berlalu…Berlalu pergi dengan sebaiknya. Nasib!

Nadine cuba menjenguk toilet ngeri katanya. Inilah rupa toilet kami semalam

16. 12. 2017
10.00pagi

Hari kedua bersama keluarga nomad (host) aku dan rakan sekembara berkesempatan untuk meninjau kehidupan seharian nomad Mongolia. Pagi itu usai sarapan, biri-biri dilepaskan bebas dari kandang. Berduyun biri-biri tersebut bergerak ke satu tempat seolah-olah ada yang menjadi ketua dan yang lainnya pula membontoti ‘ketua’ tadi mencari makanan di atas padang yang luas. Kelihatan pula di satu sudut… Keluarga angkat kami menghambat pulang unta bactrian yang sejak dari semalam tidak pulang ke kandang.

Bactrian camel berpunuk dua pulang ke sarang
Berpusu-pusu keluar si bulus ~biri-biri sebaik sahaja dibukakan pintu kandangnya
Unta Bactrian memiliki dua bongggol ini ketinggiannya boleh mencapai 7 meter. Oh My! Pose serius sebelum menaiki unta

Dalam suasana yang serba kesejukan pagi itu kami diberi peluang oleh keluarga angkat untuk menunggang bactrian camel selama sejam. Puas! Asyik sekali aku dan rakan menunggang sehingga tiada pun seorang dari kami berkata-kata. Masing-masing aku kira bertafakur di atas unta menikmati kebesaran Allah Yang Maha Esa. Terlintas lagi di hati bagaimana Rasullah berhijrah dari Kota Mekah ke Kota Madinah menaiki unta. Letih rupanya menunggang unta kalau kita tidak biasa. Dalam perjalanan menunggang unta sempat juga aku memerhati sekumpulan antelop meragut rumput kering di sekitar. Sesekali pula kelihatan helang terbang bebas di angkasa mencari sumber makanannya. Betapa aku rasa kerdil atas kekuasaan-Mu Ya Allah. Terdetik di hati untuk merayu dan meminta apa yang di hajati pada Ilahi. Dalam diam menunggang unta pagi itu, air mata aku mengalir lagi. Soksek.. LOL

Nadz kelihatan khusyuk melayan rentak unta. waktu ini tiada sesiapa pun antara kami yang bersuara. Khusyuknya!!!!

Seusai menunggang unta, kami ke rumah host untuk menikmati makan tengahari sebelum bergerak ke Khongoryn Els. Khongoryn Els adalah padang pasir yang juga dikenali sebagai Duut Mankhan. ‘Padang pasir berdengung’ ini terletak di dalam Taman Negara Gobi Gurvansaikhan di Mongolia.

Khongoryn Els is one of the largest and most spectacular sand dunes in Mongolia

Mongolia mempunyai kepelbagaian jenis padang pasir. Yang nyata Khongoryn Els ini merupakan padang pasir yang luas yang lebih menyerupai padang pasir di Eygpt. Keluk -keluk padang pasir ini nampak menarik sentiasa berubah wajah pabila ditiup angin. Angin yang bertiup dari Utara ke arah Barat ini mampu membuatkan bukit berpasir tersebut terbentuk dengan mencapai ketinggian antara 100 dan 300 meter. Aku difahamkan getting to the top hanya mengambil masa 45 minutes. Ya Allah penatnya kami semua mendaki.

“Byamba… We just end here! Cannot hike anymore”! Dalam kepayahan aku bersuara.

Byamba pula sudah menanti di puncak sana. Aku lihat Byamba kembali turun menyertai kami. Penat sungguh mendaki namun sepertiga lagi mahu sampai ke puncak, masing-masing mengalah. Aku lihat Ayu yang mula-mulanya semangat hiking up mula crawling up membontoti Byamba. Sebenarnya masing-masing sudah tidak mampu untuk memaksa diri mendaki dalam kesejukan. Tetapi di wajah masing-masing terpancar kepuasan kerana aku, Kak Shima, Ayu dan Nadz mampu juga ke atas sesudah bersusah payah mendaki. Cukuplah setakat ini sahaja!

Terbaring kepenatan selepas gigih mendaki
4 dara pingitan tawan Khongoryn Els

 

 

Lebih setengah jam juga menghabiskan masa mendaki keluk berpasir tersebut kami dibawa mengikuti host mencari punca air sekitar Khongoryn Els ini. Punca air di Khongor ini merupakan air daripada tasik yang telah membeku. Patutlah sewaktu mendaki padang pasir tadi aku terlihat nun jauh di satu sudut kelihatan warna putih seperti ais yang membeku. Beramai-ramai kami bekerjasama mengutip kepingan ais yang dipecahkan. Kini, baru lah aku tahu begini rupanya mencari punca air di kala musim sejuk. Kepingan ais ini dikumpulkan kemudian akan ditapis atau disaring bagi mendapatkan air yang bersih.

OLYMPUS DIGITAL CAMERA
Merpati dua sejoli. Gembira betul mengumpul ais untuk kegunaan seharian
Kawasan oasis sekitar Khongoryn Els. Tompok-tompok putih atas tanah itu adalah air yang telah pun membeku

Kemudiannya kami menuju ke rumah sementara anak host yang sulung bagi melihat haiwan ternakan dijaga. Banyak sungguh biri-biri gurun dilepaskan begitu saja. Aku mula kegeraman tengok biri-biri ini. Gebu-gebu bulunya. Biasanya pengembala akan membawa haiwan ternakan mereka ke tempat yang mempunyai sumber makanan yang mencukupi dan tempatnya berubah-ubah mengikut musim. Terbayang teganya anak sulung host ini tinggal sendirian di tengah padang rumput kering dan gurun seorang diri. Hoiii tak ke mati kutu nanti! Sudah lah ger pula serba serbi tidak mencukupi. Yang pasti inilah pengorbanan dalam menternak dan menjaga haiwan yang menjadi sumber rezeki buat seorang pengembala di Gurun Gobi.

Biri-biri yang gebu boleh dilihat berkeliaran mencari makanan di kawasan Khongor (Gurun Gobi)

Usai sahaja meninjau kehidupan seorang pengembala kami semua bergerak pulang ke rumah host sebaik sahaja matahari melabuhkan sayapnya. Di kaki langit kelihatan kemerah-merahan berwarna jingga. Terasa sebak mula menghantui aku. Malam itu usai makam malam aku mula melayan perasaan hati. Dalam sunyi ketenangan malam, perlahan-lahan aku ghaib bersama perasaan hati aku. Malam itu tidur aku bertemankan sebuah rindu!

Pabila senja melabuhan sayapnya…..sendu itu mula terasa

💌 KCF

Kembara Musim Sejuk Mongolia Part (5) : Tsagaan Suvarga & Gobi Gurvan Saikhan National Park

14.12.2017
Jam 8.00 pagi

Bunyi ketukan kedengaran di bilik hostel.

“Yes coming”, ujar aku.

“Your tour guide is waiting downstairs”, ujar kakitangan Khusvgul Lake Hostel.

Hari pertama tour di Mongolia, kami bergerak ke South Gobi menuju ke Dalanzadgad via Tsagaan Suvarga yang jaraknya hampir 480km dari Ulaanbaatar. Perjalanan yang panjang dimulakan dengan paved road akhirnya disusuli dengan offroad. Sebenarnya secara keseluruhan itinerary kami berubah 100% kerana kami merancang untuk kembali semula ke Beijing pada hari ke 11. Jadi susun atur tour di Mongolia kena betul-betul sesuai bagi mengejar kereta api domestik Mongolia bila berakhirnya trip ini nanti. Alhamdulillah kerjasama Sunpath Tour tidak pernah mengecewakan. Mereka berbesar hati menyusun semula itinerary yang kami bagi. 

Oh ya! By the way jikalau ada yang jelek memandang. Iyalah pakai pakej senang lah travel kat Mongolia.  Ha… Cik nak khabar bus ride dekat Mongolia ini ada tapi tersangatlah susah tambah lagi sewaktu offseason.  Sanggup tak duduk santun lama-lama dalam bas? Jika sanggup silakan. Sebenarnya ada bas ke North (Moron – 20jam), South (Dalanzadgad – 10jam) dan ada ke West (Olgii – 45 hingga 55 jam perjalanan). Jadi fikirlah sendiri. Kalau sampai satu-satu tempat hendak bergerak ke pendalaman kita tetap kena mengunakan khidmat tour atau minivan yang mana kalau jikalau sudah penuh barulah minivan tersebut bergerak. Secara jujur… aku katakan kebanyakkan bas hanyalah located centrally iaitu ke bandar-bandar besar. Lainlah pengembara yang jenis gamble. Boleh saja… jika bercadang untuk hitch hike. Sepanjang aku di Mongolia tak pernah nampak lagi hitch hike di sana. Aku difahamkan its too risky. Perjalanan di bumi Mongolia dari satu tempat ke satu tempat jauh sebenarnya. Trip kami merentas Gobi pun hanya menampakkan kenderaan kami sahaja. Tiada kereta lain selain kami. Jalannya pula offroad ya! Jangan sesekali bermimpi mimpi mahukan jalan berturap cantik di Mongolia.  20% sahaja jalan berturap di sana. 

Berbalik kepada perjalanan kami, sebelum bergerak ke Dalanzadgad kami diberi peluang untuk menjengah pasaraya bagi membeli bekalan makanan mentah yang akan dimasak oleh guide dan driver kami sepanjang kembara 10 hari. Oleh kerana daging halal susah didapati maka option yang ada tentulah vegetarian. Telur?? Sudah pasti. Makanan ruji! 

Trip kami menggunakan 2 buah Russian minivan dan sebuah 4WD Korean/Japanese jeep. Sepanjang perjalanan tak dapat aku melelapkan mata disebabkan keterujaan melihat pemandangan yang menyejukkan mata. Dari muka bumi yang memutih diliputi salji kian lama kian bertukar wajah. Warna kemerahan tanah dan rumput kering mula menyerikan suasana. Sesekali perjalanan kami terhenti bila mana sekumpulan biri-biri melintasi lebuh raya di bumi Chinggis Khan ini. Asyik! Sungguh asyik hinggakan aku takut terlepaskan setiap inci pemandangan indah sepanjang perjalanan.

Bumi Mongolia di liputi salji

Padang ragut kekeringan kelihatan apabila minivan mula menghampiri South Gobi
Biri-biri dan ternakan lain bebas lepas kelihatan dalam perjalanan menuju Ölziit

Lewat petang kami akhirnya tiba di Ölziit sebuah daerah di Dundgovi Province central Mongolia. Di sini kami bermalam dalam sebuah ger milik local. Bermalam di ger bagi kali pertama merupakan pengalaman yang tak dapat aku lupakan. Kalau dulu aku melihat lewat buku, lewat internet…Kini aku merasai sendiri berada dalam ger milik nomad di Mongolia. Banyak pantang larang yang perlu diikuti jika kita berada dalam ger milik nomad. Hari pertama berada di dalam ger ini dirasakan serba tak kena. Takut-takut terlanggar pantang larang mereka. Nanti aku kongsikan entry khas tentang pantang larang dan budaya orang Mongolia.

Ger pertama sewaktu bermalam di Ölziit

Line-divider

15.12.2017
8.00pagi…

“Good Morning! Your breakfast is ready in host’s ger”, ujar Bymba guide kami yang satu-satunya fasih berbahasa Inggeris.

Usai sarapan, dengan kelengkapan pakaian dan kasut yang tebal yang dipinjamkan oleh tour kepada kami, akhirnya kami bersiap sedia untuk bergerak menuju ke Tsagaan Suvarga bahagian tengah Gurun Gobi, gurun kelima terbesar di dunia. Perjalanan dari Olzit ke sini tidaklah sejauh mana hanya 70km mengharungi offroad yang tersedia. Sebaik tiba kami dapat saksikan matahari mula menampakkan dirinya. Cantik! Kedatangan kami pada awal pagi itu disambut dengan cuaca yang sangat sejuk dan berangin. Sejuknya hingga ke tulang hitam. Namun tidak mematahkan semangat masing-masing untuk trekking di sekitar Tsagaan Suvarga ini.

Matahari pagi menerangi sebahagian besar Tsagaan Suvarga

Model spontan. Bymba turun ke bahagian bawah tebing tinggi

Tsagaan Suvarga dikenali sebagai batu putih atau ‘white stupa’. Pembentukan batu-batu yang terhakis oleh angin ini kelihatan seperti sebuah bandar yang tinggal jika kita melihatnya dari jarak tertentu. Dikatakan batuan ini mempunyai ketinggian kira-kira 60 meter dan panjang 400 meter dan menurut Bymba di sini boleh lihat colour layers yang cantik mengikut kesesuaian waktu atau musim. Terdapat beberapa spot menarik di sini yang boleh dilawati seperti Del Uul Mountain yang mana terdapat beberapa lukisan purba zaman prasejarah gangsa (Bronze Age) dahulu. Malangnya aku terlupa untuk suarakan.

Landscape of Tsagaan Suvarga

Aku difahamkan di zaman purba dulu di sini merupakan lautan luas. Namun apabila lautan mengering nah.. Yang inilah terbentang di depan mata ‘lautan’ endapan sedimen yang terhasil akibat hakisan. Sempat juga dalam kesejukan di sini Bymba mengajak kami trekking ke bahagian bawah tebing. Di sini kami perlu lebih berhati-hati memandangkan terlalu curam jurangnya. Dalam kepayahan aku lihat rakan sekembara yang lain dengan kasut kulit kambing yang besar gedabak tetap juga bersemangat turun ke bawah. Berjaya juga mereka trekking naik dan turun. Subhanallah! Di bawah ini pemandangannya lebih indah. Bak seperti dunia khayalan. Kelihatan jelas sekali tanah dan tebing berwarna warni mengikut mineral yang terendap beribu-ribu tahun dahulu. Tak silap aku antara mineral yang terendap di sini adalah bijih tembaga.

Berjaya trekking ke bahagian bawah Tsagaan Suvarga.  This is ‘white stupa’. 

Seterusnya perjalanan kami diteruskan ke Bandar Dalanzadgad untuk makan tengahari sebelum bergerak ke tempat menarik berikutnya iaitu Yolyn Am atau dikenali sebagai Yol Valley yang terletak di dalam Gobi Gurvan Saikhan National Park. Untuk menuju ke Yol Valley kami menyusuri Three Beauties Mountain. Menurut lagenda rakyat tempatan, 3 buah gunung ini dahulunya merupakan 3 orang puteri Mongol yang kecewa kerana tidak dapat mengahwini putera-putera pilihan hati mereka kerana tentangan keluarga. Mereka dikatakan melarikan diri mencari sang putera di sini. Namun tidak ketemu. Oleh kerana kecewa tidak bertemu dengan putera idaman hati akhirnya mereka mengambil keputusan untuk bertukar menjadi gunung. Begitu tragik sekali kisah kecewa mereka. Wah! Terkesan jugak dengan hati aku. Eh! Kecewa bila mana pilihan hati juga hilang tak berganti. Lol.

Pemandangan sekitar Gobi Gurvan Saikhan National Park menghala ke Yolyn Am

Guide dan rakan sekembara sudah mula turun dari minivan. Tak sabar nampaknya nak teroka Yol Valley

Yol Valley sebenarnya merupakan lembah gunung yang mempunyai ngarai sepanjang 40km yang mana terdapat kawasan kecil yang terdapat salji beku (glacier) di hujungnya. Sebelum sampai ke lembah ini, dari dalam van yang dinaiki aku lihat kenderaan kami yang lain, 4WD dan sebuah lagi minivan di depan bergerak merentasi sungai yang beku. Sesekali gerun juga memikirkan jika sungai itu tidak beku sepenuhnya! Takut tenggelam tak ke naya. Sebaik sahaja turun dari van angin sejuk menyapa ke wajah. Sejuk! Di wajah masing-masing keseronokan kerana dapat menjejakkan kaki di atas sungai yang membeku. Ada di antara kami yang slide ada pula sibuk menari ala-ala ice skating dan ada juga yang terkial-kial menahan berat beban badan takut-takut terjatuh di atas sungai beku. Licin sekali.

Muka muka gembira bila dapat mengimbangi diri atas air sungai yang membeku

“Kruk krak kruk krak” bunyi ais yang dipijak kedengaran rapuh sekali di telinga. Kami berjalan hampir 6 kilometer (return) menyelusuri lembah ini. Sangat menakjubkan! Terlintas di fikiran patutlah hujung kawasan lembah ini membeku walaupun pada musim panas. Kawasannya terlindung dari cahaya. Aku cuba mendongak ke langit. Ya….Dari bawah gaung atau ngarai ini bila mendongak ke langit aku dapat lihat seperti jalur biru yang sempit. Diapit gunung-ganang Three Beauties Mountain ini.

Ice river, Yol Valley

Yolyn Am Canyon

Puas sliding dan puas meneroka dalam perjalanan pulang semula ke Dalazadgad bagi menginap semalam di sana, kami  singgah sebentar sekitar National Park ini menikmati teh panas sambil memerhatikan matahari kian lama kian terbenam di sebelah barat. Indah sungguh alam ciptaan Tuhan. Adanya siang tentulah juga ditemani sang malam. Seperti putaran alam kami juga perlu rehat secukupnya. Sudah penat seharian maka diri juga perlu direhatkan untuk mengembalikan semula tenaga bagi meneruskan perjalanan yang masih banyak tersisa.

Minum teh sambil menanti matahari terbenam.

💌 KCF

Kembara Musim Sejuk Part (4) : Sain Uu Mongolia! The Land of Eternal Blue Sky

Jam 2. 35petang.

Skreettt… Gemersik bunyi decitan rel menandakan telah sampai ke destinasi. Rata-rata penumpang sudahpun menuruni keretapi termasuklah aku dan rakan-rakan sekembara.

Hembusan angin sejuk menyapa wajah sebaik sahaja menapakkan kaki di stesen keretapi Ulaanbaatar. SEJUK! Sangat Sejuk. Di hati mula terdetik pada diri sendiri “Jejak jua akhirnya ke negara yang terkurung daratannya di Asia Timur, Feesya”

Alhamdulillah… Setelah menempuh perjalanan yang panjang sejauh 1500 kilometer hampir dan 27 jam atas keretapi TransMongolia, akhirnya aku dan rakan-sekembara tiba di ibu negara Mongolia iaitu Ulaanbaatar.

Di hadapan Ulaanbatar Railway Station

Sebaik kami menapak turun, kelihatan tiga lelaki warga Mongolia menghampiri kami dengan sehelai kertas tertulis nama Uzair (Zaid) di tangannya. Oh ini rupanya orang-orang tour in Mongolia! Kami di bawa ke hostel Khusvgul Lake yang telah aku tempah lewat online. Di hotel ini kami bertemu empat mata dengan Doljma owner Sunpath Mongolia.

Usai daftar masuk kami semua rehat sebentar sebelum mencari makan dan bersiar-siar di sekitar Ulaanbaatar. Tak sabar untuk merasai pengembaraan sebenar di bumi Mongolia.~ketawa~. Dalam kesejukan lewat petang itu kami berjalan ramai-ramai menyusur kota Ulaanbaatar. Hotel yang kami duduki ini sebenarnya tidak jauh dari Sukhbaatar Square dan Mughul Restaurant. Hanya perlu berjalan sekitar lingkungan 1.5kilometer sahaja. Sesekali terasa di kulit perit seperti dihiris pisau belati. Sakit dan dingin. Terlalu Sejuk! Selesai makan.. Masing-masing bergegas pulang ke hostel. Tak mampu untuk berlama-lamaan di luar.

Menanti makanan tiba. Mughul Restaurant merupakan restoren halal yang menyediakan india afgan food.

Suasana Sukhbaatar Square di malam hari.

Statue Damdinii Sukhbaatar, salah seorang pemimpin Revolusi 1921 di Sukhbaatar

Baiklah, aku kongsikan sedikit beberapa fakta tentang Mongolia yang aku ketahui.

Yang pertama, Mongolia mempunyai kepadatan penduduk yang paling rendah di dunia. Hampir 40% daripada penduduknya tinggal di ibu negara (Ulaanbaatar) manakala selebihnya hidup secara nomad dengan mengembala ternakan di atas padang rumput luas di negara ini. I wonder why they choose to live as nomad rather than living in the city. Sedangkan ternakan mereka tidaklah semahal mana. Seekor kambing biri-biri berharga ₮70000 bersamaan dengan RM117 seekor. Uiii murah! Selain itu Mongolia dikatakan berasal dari perkataan Mongol, yang dikatakan dari mong yang bererti “berani”. Yes indeed!

Pemandangan biasa. A herd of sheep melintas jalan!

Terdapat 13 kali lebih banyak kuda daripada manusia. Rata-rata sepanjang di Mongolia aku lihat bukan sahaja kuda, malah unta, yak dan biri-biri bebas berkeliaran di atas muka bumi yang luas di Mongolia ini. Saujana mata memandang… Di tengah tanah gersang kelihatan beberapa tompok besar binatang. Bersepah! Tidak lupa… Gurun Gobi yang terletak di Mongolia ini sebenarnya adalah padang pasir terbesar di Asia dan terbesar kelima di dunia.

Bactrian camel (camelus bacterianus) kelihatan lepas bebas di sekitar bumi Mongolia

Selain itu, Mongolia juga disebut sebagai “Land of the Blue Sky” kerana memiliki lebih dari 260 hari yang cerah sepanjang tahun. Ini aku akui. Sepanjang kami di Mongolia.. Langit sentiasa kelihatan cerah. Blue sky! Tiada awan mendung berarak. Oleh kerana kedudukannya yang tinggi, lokasi daratan, dan efek dari anticyclone Siberia, aku sedia maklum dan ketahui Ulaanbaatar adalah ibu kota negara terdingin di dunia, di mana suhunya rata-rata adalah -1° c. Sejukkk! Dan kami sempat merasai bagaimana sejuknya bila suhu mencecah -31°c. Mengigil beb!

Walaupun snow… Langit kelihatan biru di angkasa. Tak syak lagi bila digelar ‘land of blue eternal sky’!

💌 KCF

 

Kembara Musim Sejuk Mongolia Part (3) : Trans Mongolian Journey

“Ketak ketuk ketak ketuk ketak…”

Bunyi berdetak detuk kereta api seringkali menjadi nyanyian yang paling merdu di telinga aku sewaktu travel. Serius! Perasaan yang tak dapat diungkap dek kata-kata. Berbicara tentang kereta api, di benak aku hanya terbayang Transiberia, TransMongolia dan Trans Manchuria…. Jika memperkatakan tentang 3 jalur kereta api ini, aku rasa hampir semua traveller idamkan ‘the epic route’ ini. Malah aku sendiri idamkan TSR (Trans-Siberian Route) sejak mula terjebak dalam travelling lagi. Saban tahun aku lihat sudah ramai traveller berjaya melaksanakan cita-cita mereka mengikut route epic ini. Terdetik di hati ‘setidak-tidaknya kalau belum rezeki buat TSR pelan-pelan kayuh TMR dulu pun jadilah!’

Usai urusan check out hostel di tengah-tengah kota metropolitan Beijing pada pukul 8.30pagi aku terus aku dan rakan sekembara mengorak langkah sambil berbondong-bondong menggalas beg dari dewasa sehinggalah si kecil Nadine ke Beijing Railway Station.

Masing-masing gembira dan tidak sabar untuk menjejak Trans-Mongolia
Train K23 Beijing to UlaanBaatar

11.20 pagi.
Terpateri jua dalam sejarah hidup. Tidak aku sangka keinginan aku menjadi nyata. Aku dan rakan-rakan akhirnya berpeluang menaiki train epic Transmongolia tetapi tidak merentasi tiga negara. Kami hanya menjejaki China dan Mongolia sahaja. Menjejakkan kaki ke atas train K23 ini dirasakan seperti berada di alam mimpi. Berkali-kali aku monolog dalam diri ‘ini permulaannya Feesya.. untuk kau menapak lebih ke atas’. Senyum aku makin lebar!

Ceria semuanya sebaik melangkah kaki di atas train Trans-Mongolia

Bagi yang belum tahu, Trans Mongolia line runs between Beijing and Moscow via Ulaan Baatar. Manakala Trans-Siberia line runs between Moscow dan Vladivostok. Tidak melalui China atau Mongolia. Trans-Manchuria pula merentasi China dan sempadan Russia (Manzhouli-Zabaikaslk) dan menyelusuri sebahagian Mongolia seterusnya ke Moscow. Insya Allah tak ada aral TSR 2020 nanti akan aku laksanakan pula melalui TransManchuria. Hai.. Masih sempat lagi aku menyulam angan!

Jadual tren K23

Mata aku meliar memerhatikan keadaan dalam gerabak. Train K23 ini keadaannya tidak jauh berbeza dengan train antara bandar milik China yang pernah aku naiki. Aku dan rakan sekembara lain kesemuanya mengambil 2nd class 4 berth sleeper yang harganya murah sedikit berbanding 1st class. Murah tak murah sehala dalam Rm750 juga. Boleh gugah poket juga sebenarnya. ~sigh~. Ada tiga pilihan kelas kabin yang disediakan, Kelas 1, Kelas 2, dan Kelas 3. Sungguhpun begitu tidak ada shower tau.

Toilet dalam kereta api K23 ~ 📷 credit to Ayu
Sinki juga ada disediakan ~ 📷 credit to Ayu
Water heater ~ 📷 credit to Ayu

Belum sejam perjalanan menaiki train K23 ini aku dan rakan-rakan tak henti-henti mengetip kamera. Itu baru sampai JiningSouth. Malah mengikut pengalaman pengembara lain katanya sepanjang mengikut jalur transmongolian ini (Beijing – Jining South – Zhurihe – Erlian – Dzyamin Ude – Ulaanbaatar) pemandangan landskapnya sangat mengkagumkan. Itu aku akui!

Sungai yang kelihatan membeku.
 Merentasi ladang gandum di sebuah lembah di Jining South, China
Pemandangan sepanjang merentasi Zhangjiakou, China

Setelah 11 jam perjalanan, kami tiba di Erlian perbatasan China-Mongolia pada pukul 9.45 malam bagi tujuan border crossing. Di sini kami tidak perlu turun dari kereta api, sebaliknya pegawai imigresen yang bertugas akan naik ke atas kereta api. Riuh juga kami dalam tiga kabin sewaktu pemeriksaan. Lucu… Bahasa tentulah menjadi satu halangan. Ada rakan sekembara yang siap dengan bahasa isyarat bila ditanya particular diri masing-masing sementelah officer pula tidak mampu berbahasa Inggeris. Di sini biasanya officer akan check satu persatu passport dan sedikit soal siasat. Soalan biasanya bertanyakan kerja apa? Dari mana? Beg pula akan diperiksa secara rambang. Ikut nasib.

Officer yang sedang bertugas ~ 📷 credit to Nor Hashimah

Kebetulan bila diunjukkan pasport kepunyaan aku, dibibir tersebut ‘zhe ge wo de’ sambil angkat tangan. Maka sesi soal siasat berlangsung dalam bahasa China. Aku ditanya apakah nama Cina aku. Terpinga jugak mulanya. ~ketawa~. Nasib aku teringat nak cakap yang aku ni Malaixiyaren (orang Malaysia). Aku tidak lupa daratan okay! Sewaktu kabin milik aku, Ayu dan Zaid disoal siasat  di luar kabin kami kelihatan berdirinya dua orang askar betul-betul berhadapan jendela kereta api memerhatikan gerak geri kami. Aduhaiii askar yang di luar tu lebih menarik hati sebenarnya! Dengan hidung mancungnya sempat juga aku dan Ayu melambai dan merenung berkali-kali. Sebalik penutup muka yang menampakkan matanya itu, aku tahu dia tersenyum bila kami asyik tenung melihat tingkah lakunya. Oh ya! Sebelum terlupa di sini passport kami diambil dulu dan akan dicop. Apabila tiba stesen seterusnya, Dzaymn Ude (Mongolia side) barulah passport kita akan dikembalikan. Di Erlian kami berhenti selama 2jam. Waktu berhenti ini lah perut aku memulas. Nak menangis menahan. Seram sejuk juga dibuatnya. Dua jam terasa seksa amat! 12.59pagi baru lah train akan bergerak semula. Cepat-cepat hajat ditunaikan apabila tandas yang dikunci tadi dibuka.

Sewaktu di border Erlian aku sempat memerhatikan pertukaran roda rel kereta api dijalankan. Pengalaman dapat merasa duduk dalam gerabak yang diangkat dari luar bagi tujuan pertukaran rel. Oh ya! Rel China dan Mongolia tidak sama kerana berbeza kelebarannya. Rel dari Mongolia ke Russia rupanya lebih besar berbanding China.

Kerja-kerja penukaran rel yang dapat disaksikan di Erlian Border

Sejam lebih kemudian, kami tiba di Zamyn Ude pada pukul 2.15pagi. Setiap passenger dalam kabin akan diarahkan untuk bangun dari tidur dan mengisi borang putih kemudian menyerahkan passport untuk dicop. Aku tidak mengalami masalah kebetulan waktu ini aku masih berjaga. Kalau ikutkan pengalaman orang lain yang pernah aku baca melalui blog, mereka dikehendaki turun dari kereta api tetapi aku dan rakan sekembara sebaliknya. Masih duduk utuh di atas kereta api. Waktu inilah kami masing-masing blur bila diunjukkan borang putih yang bertulisankan bahasa Mongolia. Jenuh seorang dua google translate borang tersebut namun tak dapat diterjemah. Officer pula tidak membantu.

“English… English”, ujar Kak Shimah kepada officer bertugas.

“No.. No… English”, balas officer dengan muka ketat sambil berlalu meninggalkan kami termanggu-manggu.

Dalam galau 10minit… Krik krik krik. 20minit krik krik krik akhirnya pukul 3.30pagi kereta api akhirnya bergerak perlahan-lahan meninggalkan Dzamyn Ude. Oleh kerana masing-masing keletihan dan mamai jadi kami semua andaikan urusan sudah selesai di border Mongolia dan passport kami dikembalikan. Aku pula terkelip-kelip tidak dapat melelapkan mata.

Dalam kegelapan kereta api membelah malam merentasi padang nan tandus. Kelihatan beribu-ribu bintang berkelipan dari jendela kereta api.

‘Milky way…Cantiknya’, getus aku sendiri dan dalam keasyikkan itu tak ku tahu bilakah masanya aku terlelap sendiri.

6.30pagi.
Lena aku terganggu dengan panggilan dari rakan sekembara. Ku intai di jendela bentuk muka bumi nan tandus masih lagi menghiasi pandangan mata sehinggalah jam 12.00tengahari bumi yang tandus tadi diliputi pula butiran salji. Serba memutih.

Pasir nan tandus sebaik sahaja melintasi Mongolia.
White land everywhere when reach near Ulaanbaatar
Melayan pandangan dan perasaan. Dingin dan beku di luar sana.

Wah! Di hati mula tak sabar untuk menjejaki bumi Mongolia! Bunga-bunga gembira jelas kelihatan di wajah masing-masing apabila berjaya menempuh 27jam perjalanan dan akhirnya tepat 2.35petang kami tiba jua di bumi yang terkurung daratannya.

Sain bainu Mongolia!!

💌 KCF

Kembara Musim Sejuk Mongolia Part (2) : Sehari Transit Di Beijing 

“Ladies and gentlemen, welcome to Beijing Capital International Airport.  Local time is 5.10am and the temperature is -3°c

On behalf of AirAsia Airlines and the entire crew, I’d like to thank you for joining us on this trip and we are looking forward to seeing you on board again in the near future. Have a nice stay!”

Sedikit tersentak lena aku. Rupanya pesawat sudah selamat mendarat di Peking Airport, Beijing. Mendarat di awal pagi dengan suhu yang dingin -3°c sedikit sebanyak meruntun jiwa.

Selesai urusan imigresen kami terpaksa menunggu pula Airport Transfer untuk ke Sanyuanqiao Stesen seterusnya ke Dongsi Stesen di mana Happy Dragon Hostel, tempat menginap kami untuk semalaman ini berada. Renyah juga turun naik subway. Dengan beg besar tergalas di depan dan belakang bersesak pula waktu office hour haiiii.. gugah juga dibuatnya. Rasa ketar lutut menahan beban yang berat di bahu. Sebaik tiba di Dongsi station kami perlu menapak pula sejauh 1 kilometer ke hostel.  Terasa hendak menangis sebenarnya mengenangkan berat beban ditambah pula cuaca di Beijing yang sejuk dan berangin.

Berehat di cafe sebelum check in jam 11.30pagi

Usai check in, pada asalnya aku bercadang, menjengah ke Tembok Besar (Great Wall) yang dianggap sebagai symbol and soul of China dan juga merupakan salah satu dari tujuh keajaiban dunia. Tetapi memandangkan sudah lewat tengahari, dan kami dibenarkan check pada pukul 11.30pagi maka dibatalkan saja keinginan aku untuk ke Great Wall. Aku dan lainnya bercadang untuk menjengah Niujie Street dan mengunjungi Niujie Mosque di mana ianya telah dibina berkurun lama pada zaman Liao Dinasti dan merupakan masjid tertua yang di bina di Beijing. Kami sempat berselisih dan bertemu muka dengan seorang pendakwah Malaysia yang berasal dari Sri Petaling yang datang ke China dalam usaha beliau yang murni iaitu mempereratkan talian silaturahim selain berdakwah di sana.

Mosque that combining Chinese and Arabic architectural style.

Sungguh unik sekali binaan masjid Niujie ini. Tampak jelas binaan China di situ. Masjid ini sebenarnya dibangunkan kembali pada 1443 semasa Dinasti Ming dan diperluas pada 1696 pada zaman Dinasti Qing. Usai melawat sekitar masjid aku mengambil keputusan untuk menunaikan jamak di sini sebelum pulang semula ke hostel.

Niujie Mosque. The oldest mosque in Beijing, China

Berjemaah naik turun subway dari hostel ke Niujie

“Ayu… Malam ni kita keluar nak? Nak tengok suasana Beijing waktu malam”, ujarku kepada Ayu.

Yes.. Kata sepakat empat anak dara. Semuanya bersetuju untuk keluar semula selepas maghrib. Pada awalnya gagau jugak mencari makan akhirnya sampai juga ke Xinjing Crescent Moon Uygur Muslim Restaurant. Terubat rindu aku pada makanan Xinjiang.

4 dara pingitan mencari makan. Lapar!

Usai makan kami bergegas ke Wanfujing dari Dongsi Station. Malangnya hanya mampu menjengah apa yang ada sahaja. Kebanyakkan mall sudah mahu menamatkan operasi mereka. Terlupa pula aku, bila mana tibanya musim sejuk operasi sesuatu perniagaan akan ditamatkan lebih awal walaupun jam di tangan menunjukkan jam 9.30 malam. Kami hanya mampu bersiar-siar sambil melihat ragam warga kota Beijing. Puas menjelajah akhirnya kami pulang ke hostel. Esoknya misi kembara TransMongolia akan bermula.

💌 KCF

Kembara Musim Sejuk Mongolia Part (1) : Kerja Gila Menjengah Ketika Musim Sejuk Melampau Melanda Mongolia!

Malamku igau
Gilakan kau
Siangku sasau
Gilakan kau
🎵🎶🎵🎶

Gila memang gila! Apa yang gilanya? Idea menjelajah ke Mongolia sudah lama terbit di hati sanubari aku sejak tiga tahun kebelakangan ni.  Lagi-lagi bila melihat ada rakan traveller sudah menjejakkan kaki ke sana. Subhanallah.. gambar-gambar mereka memukau pandangan mata dan terbuai-buai di jiwa. Artdeep. Sekilas aku teringat sang pengembara inilah yang membuatkan jiwa aku bergejolak untuk menjejakkan kaki ke Mongolia. Tetapi bila dicongak-congak cuti, nampaknya hanya ketika musim sejuk melanda bumi Mongolia saja aku mampu merealisasikannya. Waktu yang panjang malah sesuai untuk jelajah Mongolia,  fikirku. Sesuai?? Tapi tidakkah nanti dikatakan kerja gila menjelajah Mongolia sewaktu musim sejuk melampau melanda? Waraskah kah engkau Feesya?  Mampukah impian aku menjadi kenyataan atau sekadar berangan-angan melastik jauh terus ke bintang? Monolog aku sendiri.

“Wei.. Aku nak pi Mongolia. Tapi.. Musim sejuk la! Hang nak ikut aku dak?”,  ujarku pada Uzair @ Zaid dalam telor Kedah pekat.

Zaid merupakan teman baik yang selalu menjadi teman travel aku.

“Bila tarikhnya tu Sya? Aku nak ikut juga”,  balas Zaid.

Nah! Hampir melonjak gembira tak terkata bila dikhabarkan pada rakan pengembara lain rupanya ada otaknya yang berfikiran seperti aku juga.  Ingatkan aku seorang sahaja yang gila. Susah juga hendak mencari travel buddy yang lain sebenarnya. Akhirnya selepas bersusah payah aku uar-uarkan dalam Facebook dan Pages milik aku, kami lapan tenaga bakal meneruskan misi menjadi nomad di bumi Mongolia termasuklah Nadine, si kecil comel pengembara paling muda.

Sememangnya jelajah Mongolia ketika musim sejuk memang gila. Masakan tidak, lazimnya suhu di Mongolia ketika cuaca melampau boleh mencecah -20°c hingga -40°c.  Suhu 10°c ke bawah pun ada yang sudah berbungkus tebal ini inikan pula negatif. Rata-rata rakan pengembara yang message aku,  bila diberitahu suhu di sana extreme akan mula mengelak bila diajak bersama-sama sertai aku dan rakan lain dalam expedisi kembara kali ini.

“Maaf Feesya tak dapat nak join. Aku tak tahan sejuk. Insya Allah lain trip aku ikut”. Itulah antara message yang aku terima dalam FB Messenger.

Bahkan pada awalnya rakan kembara yang turut serta gusar juga dengan cuaca di sana. Kerja gila juga dikata, bila dikhabarkan pada keluarga. Alhamdulillah kata-kata penaik semangat yang tak putus-putus antara satu sama lain membuatkan semangat mereka kembali mencanak naik. Lagi-lagi apabila aku suka meracuni mereka dengan artikel dan gambar menarik dari sana. Psst.. Sebenarnya itulah strategi aku mencari rakan sekembara.

Pemandangan yang sangat cantik dan lain dari yang lain yang dapat disaksikan ketika musim sejuk melampau melanda juga membuatkan aku tergila-gila benar ingin merealisasikannya. Rare kata orang.  Ada seorang rakan pernah bertanya,

“Apa yang kau cari kat Mongolia musim sejuk tu Feesya? Putih aje gambar sekeliling nanti. Tak cantik…”

Siapa kata tak cantik? Cantik itu subjektif! Percayalah! Lain musim, lain suhu apatah lagi keindahan geomorfologinya. Cubalah dulu kembara waktu musim sejuk. Itupun kalau kental hati lah ya!

Seronok sebenarnya kembara waktu sejuk kerana pada waktu ini pengunjung tidak ramai yang menjengah. Takkan ada isu berebut berswafoto. Rimas juga kalau ramai sangat melewati satu-satu tempat. Crowded.  Kadangkala boleh ganggu mood yang satu. Saat asyik menghayati pemandangan tiba-tiba terganggu dek hingar bingar orang ramai, memang boleh membuatkan aku tidak selesa. Kedengaran pentingkan diri dan kedekut di situ. Macam dunia aku yang punya. Mana mungkin dunia itu hanya engkau sahaja hayati keindahannya. Feesya oh Feesya!

Ada lagi beberapa sebab lain yang mempengaruhi aku ke sini waktu musim sejuk antaranya kos murah sewaktu off season lebih menarik minat aku untuk menjelajah berbanding berganda-ganda kosnya pada peak season yang menjadi idaman para pengembara seluruh untuk ke Mongolia. Tambahan pula waktu peak season inilah sangat ideal untuk melawat Mongolia. Ingin lari dari kebiasaan, aku memilih winter season sebagai waktu sesuai bagi aku jelajahinya.

Tidak disangka hampir 10 bulan lamanya, merancang satu demi satu, persiapan demi persiapan dan sebagainya, dengan whatsapp grup yang suam-suam kuku, urusan semuanya; tiket keretapi, tiket kapal terbang, dan visa juga diuruskan lewat dua bulan lalu, akhirnya kami bakal menjejak Mongolia kurang dari 48 jam sahaja lagi. Hari ini kami bakal bertolak ke Beijing dan akan seharian juga menjelajahi negara Tiongkok ini kerana menunggu kereta api TransMongolia yang hanya beroperasi pada hari Isnin dan Selasa sahaja ketika off season. Ini bermakna seminggu dua kali kereta api ini menjalankan operasi outbound nya.

Perjalanan menjelajah Mongolia ini dimulakan dengan route Beijing ➡ UB ➡ Dundgovi ➡ Ömnögovi  ➡  Övörkhangai ➡ UB ➡ Beijing.  Insya Allah tak ada aral, ada liputan internet aku update perjalanan kembara aku dan rakan-rakan di Mongolia nanti sama ada dalam Pages (FB) atau melalui Blog ini ~ psst kalau rajin la nak mencoret panjang-panjang.

Oh ya! Sebetulnya kembara kami sembilan orang semuanya. Kita merancang Allah jua yang menentukan. Dalam tempoh 6 hari sebelum berlepas, salah seorang daripada kami tidak dapat meneruskan pengembaraannya ke Mongolia disebabkan oleh demam denggi. Buat kak Izza (Shariza) semoga cepat sembuh. Jangan sedih…Insya Allah ada rezeki kita travel sama-sama lain kali. Video yang Feesya hasilkan di bawah, akak tetap dalam kembara kami.

Akhir kata jangan lupa doakan perjalanan kami berjalan dengan lancar, selamat pergi selamat balik ya. Sampai jumpa lagi. Nah… Aku kepilkan sekali  teaser Mongolia yang sempat aku hasilkan secara suka-suka.  Layan!!!  💋

 

💌 KCF