Kembara Musim Sejuk Mongolia Part (6) : Menyelusuri Kehidupan Nomad di Mongolia

Mendengar perkataan nomad aku sering terbayangkan kehidupan yang sering berpindah randah. Dan kaum yang terkenal dengan nomad tentulah kaum MONGOL. Sabankali aku sering menceritakan kehidupan kaum yang satu ini dari segi cara hidup dan aktiviti yang mereka usahakan untuk kelangsungan hidup di dalam kelas Geografi aku tanpa aku merasai sekelumitpun cara hidup sebenar nomad yang sebenarnya di bumi Mongolia. Tampaknya hari keempat dan kelima di sini, aku benar – benar merasainya.

Seawal jam 8.00 pagi sebelum bertamu dan bermalam di rumah keluarga yang menjadi host kami… Terlebih dahulu kami menjengah Mukhar Shiveert the second ice valley selepas Yolyn Am. Di sini terdapat beberapa spot air terjun yang telah membeku. Sebelum ini kami tidak disertai si kecil cilik Nadine, hari ke-empat ini kami membawa Nadine bersama. Risau juga sebenarnya jika ingin membawa anak kecil menjengah tempat yang terlalu rendah suhunya~ terlalu sejuk! Hinggakan wap pernafasan yang dihembus singgah di bulu mata bisa menjadi ais yang nipis. Aku lihat si anak kecil itu kuat hatinya. Kagum dengan tekad sepertinya ibunya yang digelar ‘nomad’ di alam maya.

Berjalan kaki sejauh 2 kilometer menuju ke Mukhar Shiveert. Formasi batuan dapat dilihat di kiri kanan sepanjang perjalanan

Berjalan ke Mukhar Shiveert sepanjang 2 kilometer tidak membuatkan kami terasa terlalu sejuk dan penat. Sementelahan di kiri kanan kami terdapat gunung yang batunya membentuk pelbagai rupa. Hanya memerlukan sedikit imaginasi, kami dapat lihat formasi batuan yang terhakis oleh agen semulajadi. Semakin dalam kami menjengah semakin kami menghampiri waterfall yang membeku. Susah juga sebenarnya berjalan di atas air terjun yang membeku. Silap langkah padah menanti!

“Be careful with rocks”, sesekali Byamba dan Narantuya memberikan peringatan kepada kami.

Ya…. Dalam beringat itu jugalah aku hampir tersembam muka ke atas batu dan sepantas kilat dalam kekalutan mengimbangi diri cepat-cepat aku alihkan muka lalu ‘kelepuk’…. Bunyi aku tersungkur di atas ais yang membeku. Sakit. Ketawa terburai menyembunyikan rasa.

Perjalanan meniti ke Mukhar Shiveert Waterfall
Glacier waterfall
Cukup sembilan ahli trip kesemuanya. Mukhar Shiveert BERJAYA diteroka walaupun suhu terlalu rendah
Sliding ke tempat permulaan. Slide-slide-slide! Yang berbaju oren bukan main lagi yer?

Allah! Nasiblah aku dapat elak. Kalau tidak memang habis lah muka aku ranap dibuatnya. Perlahan-lahan aku bangun dan bergantung pada tepian batu. Kali ini aku lebih berhati-hati. Sampai di satu sudut, Subhanallah… Cantiknya air terjun yang membeku. Tak terucap dengan kata-kata. Sejuk, tenang dan mendamaikan. Hampir setengah jam melayan view di sini kami kembali semula ke tempat permulaan dengan sliding secara duduk atas ais yang membeku. Sebenarnya boleh saja slide dan berjalan jika mampu berjalan dengan berhati-hati. Tetapi dikhuatiri  jatuh terlentang sahaja. Licin. Basah seluar yang aku sarung walaupun waterproof. Sejuk! Glove yang aku pakai (semi waterproof) itu menjadi basah dan mula keras dek angin sejuk. Terasa kebas jari jemari. Panik! Risau frostbite cepat-cepat aku keluarkan snow cap di dalam kocek dan mula membalut tangan sendiri. Kelihatan pada belakang tapak tangan aku mula kemerahan. Sudah! Cepat-cepat aku gerakkan langkah ke minivan yang sedia menunggu.  Lega bila sudah duduk di dalam.

 

Russian minivan our transporter

Sesekali aku menaham perit dan sakit sehinggalah perjalanan kami diteruskan menuju ke pekan Dalay untuk lunch. Nyata sekali pekan ini seperti sebuah pekan koboi~lengang dan sunyi. Sungguhpun begitu, sempat lagi rakan sekembara aku beramai-ramai shopping di ‘kedai acheh’ gelaran yang diberikan rakan kembara buat kedai runcit di bumi Chinggis Khan ini. Tak sudah-sudah mereka dengan kedai runcit sepanjang beberapa hari kembara. Ketawa memikirkan. Mahu taknya gian bershopping lah tu! Dari Dalay kami bergerak menuju ke tengah gurun Gobi~ Khongoryn Els. Dalam perjalanan panjang, kami sempat berhenti di dua pitstop untuk bergambar. Saat mata memandang lalu lidah pun kelu.. Kelu untuk berkata. Tiada seindah alam melainkan ciptaanNya.

Dari jauh ku lihat Kongoryn Els.
Antara spot menarik. Keluk-keluk padang pasir yang indah.

Kami tiba di rumah host (keluarga angkat) pada jam 5.30petang. Dalam serba kekurangan di tengah gurun itu kami disambut dengan tangan terbuka. Ramah host menerima kami sebagai tamu mereka.

Di dalam ger milik host di Khongor aku kelihatan terlalu serius dan khusyuk melihat rakan cuba mencalitkan satu wangian tanda kaum nomad meraikan tetamu mereka.

Malam terasa begitu lambat berlalu di Khongoryn Els. Bagi mengisi kekosongan malam, kami berbual sesama sendiri dari satu topik ke satu topik. Semestinya topik travel menjadi bualan. Bila malam makin larut Kak Yus, Nadine dan Zaid serta yang lain meminta diri.. Aku beserta 3 lagi si dara sunti mula melangsaikan apa yang perlu sebelum melelapkan diri.

“Wei.. Teman aku sat. Ish takut pulak nak ke sana sorang diri”, kata aku pada yang lain mengajak mereka bersama menemani aku ke tandas. Sememangnya aku memang penakut pada kegelapan malam. Ya aku sedikit nyctophobia (takut kepada kegelapan). Maka berempat kami berjemaah.

“Feesya dulu tak tahan ni”, ujar aku.

Dalam asyik tiba-tiba terjengul guard betul-betul depan aku memerhatikan tingkah laku aku pada waktu itu.

“Heii! Apa kau tengok ni. Shuh.. Shuhh. Eh! Depan-depan plak tu”, halau aku.

Ayu, Kak Shims dan Nadz mula ketawa mendengar aku mengomel. Sesi melangsaikan hajat kami malam itu bukan sahaja ditemani bintang-bintang di angkasa tetapi juga ditemani seekor binatang iaitu anjing host yang sangat jinak. Aduhai… sakit perut aku yang memulas tadi terus hilang. Terbantut segalanya. Aduh! Bisa buat aku sembelit nanti nih, getus aku.  Malam itu berlalu…Berlalu pergi dengan sebaiknya. Nasib!

Nadine cuba menjenguk toilet ngeri katanya. Inilah rupa toilet kami semalam

16. 12. 2017
10.00pagi

Hari kedua bersama keluarga nomad (host) aku dan rakan sekembara berkesempatan untuk meninjau kehidupan seharian nomad Mongolia. Pagi itu usai sarapan, biri-biri dilepaskan bebas dari kandang. Berduyun biri-biri tersebut bergerak ke satu tempat seolah-olah ada yang menjadi ketua dan yang lainnya pula membontoti ‘ketua’ tadi mencari makanan di atas padang yang luas. Kelihatan pula di satu sudut… Keluarga angkat kami menghambat pulang unta bactrian yang sejak dari semalam tidak pulang ke kandang.

Bactrian camel berpunuk dua pulang ke sarang
Berpusu-pusu keluar si bulus ~biri-biri sebaik sahaja dibukakan pintu kandangnya
Unta Bactrian memiliki dua bongggol ini ketinggiannya boleh mencapai 7 meter. Oh My! Pose serius sebelum menaiki unta

Dalam suasana yang serba kesejukan pagi itu kami diberi peluang oleh keluarga angkat untuk menunggang bactrian camel selama sejam. Puas! Asyik sekali aku dan rakan menunggang sehingga tiada pun seorang dari kami berkata-kata. Masing-masing aku kira bertafakur di atas unta menikmati kebesaran Allah Yang Maha Esa. Terlintas lagi di hati bagaimana Rasullah berhijrah dari Kota Mekah ke Kota Madinah menaiki unta. Letih rupanya menunggang unta kalau kita tidak biasa. Dalam perjalanan menunggang unta sempat juga aku memerhati sekumpulan antelop meragut rumput kering di sekitar. Sesekali pula kelihatan helang terbang bebas di angkasa mencari sumber makanannya. Betapa aku rasa kerdil atas kekuasaan-Mu Ya Allah. Terdetik di hati untuk merayu dan meminta apa yang di hajati pada Ilahi. Dalam diam menunggang unta pagi itu, air mata aku mengalir lagi. Soksek.. LOL

Nadz kelihatan khusyuk melayan rentak unta. waktu ini tiada sesiapa pun antara kami yang bersuara. Khusyuknya!!!!

Seusai menunggang unta, kami ke rumah host untuk menikmati makan tengahari sebelum bergerak ke Khongoryn Els. Khongoryn Els adalah padang pasir yang juga dikenali sebagai Duut Mankhan. ‘Padang pasir berdengung’ ini terletak di dalam Taman Negara Gobi Gurvansaikhan di Mongolia.

Khongoryn Els is one of the largest and most spectacular sand dunes in Mongolia

Mongolia mempunyai kepelbagaian jenis padang pasir. Yang nyata Khongoryn Els ini merupakan padang pasir yang luas yang lebih menyerupai padang pasir di Eygpt. Keluk -keluk padang pasir ini nampak menarik sentiasa berubah wajah pabila ditiup angin. Angin yang bertiup dari Utara ke arah Barat ini mampu membuatkan bukit berpasir tersebut terbentuk dengan mencapai ketinggian antara 100 dan 300 meter. Aku difahamkan getting to the top hanya mengambil masa 45 minutes. Ya Allah penatnya kami semua mendaki.

“Byamba… We just end here! Cannot hike anymore”! Dalam kepayahan aku bersuara.

Byamba pula sudah menanti di puncak sana. Aku lihat Byamba kembali turun menyertai kami. Penat sungguh mendaki namun sepertiga lagi mahu sampai ke puncak, masing-masing mengalah. Aku lihat Ayu yang mula-mulanya semangat hiking up mula crawling up membontoti Byamba. Sebenarnya masing-masing sudah tidak mampu untuk memaksa diri mendaki dalam kesejukan. Tetapi di wajah masing-masing terpancar kepuasan kerana aku, Kak Shima, Ayu dan Nadz mampu juga ke atas sesudah bersusah payah mendaki. Cukuplah setakat ini sahaja!

Terbaring kepenatan selepas gigih mendaki
4 dara pingitan tawan Khongoryn Els

 

 

Lebih setengah jam juga menghabiskan masa mendaki keluk berpasir tersebut kami dibawa mengikuti host mencari punca air sekitar Khongoryn Els ini. Punca air di Khongor ini merupakan air daripada tasik yang telah membeku. Patutlah sewaktu mendaki padang pasir tadi aku terlihat nun jauh di satu sudut kelihatan warna putih seperti ais yang membeku. Beramai-ramai kami bekerjasama mengutip kepingan ais yang dipecahkan. Kini, baru lah aku tahu begini rupanya mencari punca air di kala musim sejuk. Kepingan ais ini dikumpulkan kemudian akan ditapis atau disaring bagi mendapatkan air yang bersih.

OLYMPUS DIGITAL CAMERA
Merpati dua sejoli. Gembira betul mengumpul ais untuk kegunaan seharian
Kawasan oasis sekitar Khongoryn Els. Tompok-tompok putih atas tanah itu adalah air yang telah pun membeku

Kemudiannya kami menuju ke rumah sementara anak host yang sulung bagi melihat haiwan ternakan dijaga. Banyak sungguh biri-biri gurun dilepaskan begitu saja. Aku mula kegeraman tengok biri-biri ini. Gebu-gebu bulunya. Biasanya pengembala akan membawa haiwan ternakan mereka ke tempat yang mempunyai sumber makanan yang mencukupi dan tempatnya berubah-ubah mengikut musim. Terbayang teganya anak sulung host ini tinggal sendirian di tengah padang rumput kering dan gurun seorang diri. Hoiii tak ke mati kutu nanti! Sudah lah ger pula serba serbi tidak mencukupi. Yang pasti inilah pengorbanan dalam menternak dan menjaga haiwan yang menjadi sumber rezeki buat seorang pengembala di Gurun Gobi.

Biri-biri yang gebu boleh dilihat berkeliaran mencari makanan di kawasan Khongor (Gurun Gobi)

Usai sahaja meninjau kehidupan seorang pengembala kami semua bergerak pulang ke rumah host sebaik sahaja matahari melabuhkan sayapnya. Di kaki langit kelihatan kemerah-merahan berwarna jingga. Terasa sebak mula menghantui aku. Malam itu usai makam malam aku mula melayan perasaan hati. Dalam sunyi ketenangan malam, perlahan-lahan aku ghaib bersama perasaan hati aku. Malam itu tidur aku bertemankan sebuah rindu!

Pabila senja melabuhan sayapnya…..sendu itu mula terasa

๐Ÿ’Œ KCF